Isu bukan warganegara: Pemuda Gagasan Rakyat dakwa ADUN Warisan salah tafsir data

KOTA KINABALU:  Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan yang mengaitkan peningkatan jumlah bukan warganegara di Sabah dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah mengelirukan serta tidak berasaskan tafsiran tepat data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata istilah bukan warganegara tidak boleh disamakan dengan pendatang tanpa izin kerana ia turut merangkumi Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, pelajar asing serta tanggungan.

Menurutnya, berdasarkan data rasmi, golongan PADI membentuk majoriti dalam kategori bukan warganegara, manakala PATI hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan jumlah tersebut.

“Peningkatan angka bukan warganegara juga dipengaruhi beberapa faktor lain termasuk pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19, migrasi tenaga kerja ke bandar utama seperti Kota Kinabalu serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrul menjelaskan, pelaksanaan pendataan digital itu tidak mewujudkan kemasukan warga asing baharu, sebaliknya bertujuan mengenal pasti dan merekodkan jumlah sebenar pekerja asing sedia ada yang sebelum ini tidak direkodkan secara menyeluruh.

Beliau turut mendakwa cubaan mengaitkan peningkatan statistik bukan warganegara dengan isu PATI berunsur politik dan berpotensi mengelirukan rakyat.

“Rakyat Sabah memerlukan penjelasan berasaskan fakta serta penyelesaian konkrit, bukan tajuk sensasi atau manipulasi persepsi,” katanya.

Tambah beliau, Pemuda Gagasan Rakyat kekal berpendirian bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri perlu ditangani melalui penggunaan data yang tepat, penguatkuasaan berkesan serta dasar yang bertanggungjawab.