LAHAD DATU: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan selama dua hari di Lahad Datu dan Keningau, bermula 3 hingga 4 Disember.
Operasi membabitkan lima lokasi berasingan itu dikendalikan 15 pegawai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Lahad Datu dan Keningau, yang memeriksa 90 individu sebelum 14 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Kesemua mereka terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal secara haram atau melanggar syarat imigresen.
JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI, dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.
“Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan,” menurut kenyataan rasmi JIM Sabah.
Tindakan penguatkuasaan ini menekankan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.
