SEMPORNA: Aktiviti jual beli barangan hidupan liar dilindungi terbongkar apabila pasukan Risik/Task Force Batalion 22 PGA Kunak bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyerbu sebuah premis di bandar ini, semalam.
Serbuan berkenaan hasil risikan yang mengesyaki premis itu dijadikan port simpan sisik dan cengkerang penyu untuk pasaran gelap.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA, anggota operasi yang tiba di lokasi memperkenalkan diri sebagai polis sebelum memeriksa dua individu di dalam premis tersebut.
Pemeriksaan lanjut menemui ruang rahsia yang dijadikan tempat menyorok barangan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan menemukan satu kotak coklat berlabel ‘Happy Boom Glow Of Sunset’ yang sebenarnya berisi 570 keping sisik/cengkerang penyu pelbagai saiz dengan anggaran berat 17.8 kilogram.
Barangan itu dipercayai diperoleh melalui aktiviti menangkap atau menyeludup penyu, spesies yang dilindungi sepenuhnya dan sering menjadi buruan sindiket kebelakangan ini.
Dua individu ditahan bagi membantu siasatan, manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,240.
Segala rampasan dan suspek diserahkan kepada JHL Sabah mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, sementara salah seorang suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
PGA berkata operasi itu membuktikan komitmen mereka memerangi kegiatan penyeludupan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Sabah.
“Rondaan, risikan dan tindakan bersepadu akan terus diperhebat bagi memastikan tiada premis dijadikan pusat pengumpulan barangan terlarang. Biodiversiti Sabah mesti dilindungi,” menurut kenyataan itu.
