TENOM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Datuk Rahmahjan Sulaiman
bertekad akan bekerja kuat untuk merampas semula kerusi DUN tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November ini.
Menurutnya, beliau cuba sedaya upaya untuk menawan kerusi Kemabong yang dahulunya kubu kuat BN tetapi terlepas kepada parti lawan dalam dua PRN yang lalu.
“Kita tahu Warisan dan calon bebas pernah menang di DUN Kemabong pada PRN yang lepas.
“Jadi, saya perlu bekerja keras untuk merampas semula kerusi itu pada PRN kali ini,” katanya selepas sesi penamaan calon DUN Kemabong di sini hari ini.
Dalam PRN kali ini, Rahmahjan ditentang oleh beberapa tokoh tempatan, termasuk Noorita Sual mewakili DAP, Datuk Rubin Balang (GRS), Yabri Ono (KDM dan Burnley Balang mewakili Warisan.
Sehubungan itu, Rahmahjan menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin atas kepercayaan yang diberikan.
Rahmahjan berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab dan cabaran sebagai calon DUN Kemabong pada PRN 29 November ini
Mengenai misi dan visi untuk rakyat Kemabong, beliau bertekad memperhebatkan program pembangunan, sekali gus membantu mensejahterakan rakyat kawasan tersebut jika berjaya memenangi PRN DUN Kemabong.
Menurut Rahmahjan, fokus utama beliau ialah memantapkan lagi program pembangunan infrastruktur termasuk bekalan air bersih, elektrik stabil dan jalan-jalan kampung.
“Saya melihat masih banyak yang perlu dilakukan terutama daripada segi kemudahan infrastruktur di kawasan Kemabong, dan saya cuba melakukan yang terbaik untuk ‘menolong’ rakyat jika diberi mandat* katanya.
Rahmahjan berkata beliau turut memberi perhatian kepada program pembasmian kemiskinan, meningkatkan ekonomi dan hasil pertanian, penjagaan kesihatan dan pembangunan wanita dan belia, termasuk pendidikan, latihan dan kemahiran.
“Saya juga berazam untuk memperkasakan lagi industri pelancongan, termasuklah memperbanyakkan tarikan berkisar budaya tempatan, inap desa dan pelancongan berasaskan pertanian dan keindahan semulajadi serta panorama kampung pedalaman,” katanya.
