SAY Syukur Dipilih, Sedia Angkat Suara Belia di Tanjung Keramat

PUTATAN: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY), menyatakan rasa syukur dan komitmen tinggi selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah.

Shah Alfie, 39, berkata pencalonan itu adalah amanah besar dan beliau menghargai kepercayaan diberikan kepimpinan parti.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Terima kasih kepada Bahagian PGRS Tanjung Keramat, pimpinan GRS dan khususnya Presiden merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas mandat ini,” katanya.

Beliau berkata, jentera GRS di Tanjung Keramat kini bersiap siaga bergerak secara agresif bagi memastikan kerusi berkenaan terus kekal di bawah gabungan itu.

Mengulas mengenai kelayakan sebagai calon muda, Shah Alfie menjelaskan bahawa kehadirannya relevan kerana hampir 60 peratus pengundi kawasan itu terdiri daripada belia.

“Anak muda adalah majoriti di Tanjung Keramat. Pengalaman saya sebagai Pegawai Khas Parlimen Putatan selama tiga tahun serta Setiausaha Bahagian PGRS banyak membantu saya memahami denyut nadi pengundi,” katanya.

Menjawab persepsi awam berhubung hubungan kekeluargaan dengan abangnya, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, beliau menegaskan pencalonannya bukan bersifat nepotisme.

“Ini keputusan parti, bukan keluarga. Saya tidak bersandar pada populariti sesiapa. Saya datang dengan identiti sendiri sebagai calon muda tempatan yang mahu membawa suara belia,” tegasnya.

Menurutnya, fokus utama kini adalah turun padang bertemu pengundi dan mendengar keperluan masyarakat setempat.

“Ini masa untuk bekerja. Saya mahu menawarkan penyelesaian terbaik demi pembangunan Tanjung Keramat dan masa depan generasi muda,” katanya.