KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa mana-mana ahlinya yang bertindak bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU 17 Sabah) akan dipecat serta-merta.
Setiausaha Agung parti, Datuk Mohammad Razali Razi berkata, keputusan bertanding atas tiket Bebas adalah bertentangan dengan pendirian parti sebagai komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, individu yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan parti dan pimpinan Gagasan Rakyat, walaupun sebelum ini mereka adalah ahli parti.
“Gagasan Rakyat telah membuat ketetapan tegas bahawa sesiapa yang melanggar keputusan ini akan dipecat serta-merta,” tegas Razali.
Beliau menyeru semua penyokong dan jentera parti untuk memperkukuh kesatuan serta memberi tumpuan penuh bagi memastikan kemenangan calon-calon GRS pada PRU 17 Sabah.
Razali menegaskan, tindakan ini dibuat demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah, sejajar dengan prinsip parti untuk memperjuangkan kestabilan politik negeri.
