KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa perjuangan STAR sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat Sabah dan bukan didorong kehendak mana-mana individu.
Katanya, setiap keputusan parti, termasuk pemilihan calon pilihan raya, melalui penilaian kolektif yang ketat dan tidak pernah dipengaruhi emosi atau tekanan luar.
“Penjelasan itu dibuat susulan rasa kecewa Ketua Bahagian STAR Nabawan, Jordan Jude Ellron, yang tidak dicalonkan di kerusi DUN Tulid pada PRU Sabah ke-17.
“Kita menegaskan bahawa kerusi berkenaan berada di bawah pimpinan Datuk Evaristus dan STAR sebagai parti berdisiplin tidak boleh sewenang-wenangnya melangkaui struktur organisasi kerana tuntutan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Jordan ialah pemimpin muda yang mempunyai potensi besar, malah parti telah merancang laluan lebih signifikan untuknya di Parlimen Pensiangan, sama ada pada PRU akan datang atau lebih awal jika keadaan sesuai.
Namun, beliau berkata Jordan pada mulanya bersetuju sebelum akhirnya berubah fikiran.
“Saya mahu lebih ramai anak muda berada di Parlimen, tetapi mereka perlu bersabar. Ramai anak muda berbakat, namun kurang ketahanan dan mudah berputus asa.
“Untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang perlu bermula sebagai pengikut yang baik,” katanya.
Jeffrey turut menyeru semua pemimpin dan ahli STAR supaya menghormati keputusan parti demi mengekalkan perpaduan serta fokus kepada perjuangan lebih besar untuk rakyat.
Tegasnya, perjuangan STAR bukan soal siapa dapat kerusi, tetapi siapa sanggup berkorban demi rakyat.
Beliau menambah, STAR akan terus memperjuangkan hak Sabah termasuk autonomi negeri, sambil menegaskan pintu parti sentiasa terbuka sekiranya Jordan memilih untuk kembali bersama perjuangan STAR sebagai pemimpin muda yang setia dan jujur.
