“Bukan Dendam, Tapi Disiplin!” – PHRS Gantung Keahlian Rina Jainal

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menegaskan keputusan menggantung keahlian dan jawatan Datuk Rina Jainal bukan tindakan sabotaj atau dendam politik, tetapi langkah tatatertib demi menjaga disiplin dan maruah parti.

Ahli Majlis Tertinggi PHRS, Siswandy Johan, berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian teliti Jawatankuasa Disiplin terhadap rekod kehadiran, sikap dan tindakan Rina yang didakwa bercanggah dengan semangat kekeluargaan serta kesetiaan terhadap kepimpinan parti.

Katanya, antara punca utama termasuk kegagalan menggunakan logo dan identiti PHRS dalam program rasmi.

“Ini termasuk tindakan memotong gambar Presiden PHRS serta Pengerusi GRS dalam hantaran media sosial — yang disifatkan tidak beretika dan mengguris maruah kepimpinan,” katanya dalam kenyataan media hari ini-

Siswandy berkata, beliau turut mendakwa terdapat aduan daripada akar umbi bahawa Rina sering menimbulkan spekulasi negatif dan adu domba terhadap kepimpinan parti, selain kerap tidak hadir mesyuarat penting tanpa alasan munasabah.

“Tiada pemimpin lebih besar daripada parti. Tindakan ini langkah terakhir selepas penilaian panjang bagi menjaga integriti dan perpaduan PHRS,” tegas Siswandy.

Katanya lagi, PHRS akan terus berjuang dengan politik berjiwa rakyat dan menolak politik kepentingan peribadi. “Rakyat tidak mahu drama, mereka mahu pemimpin yang setia, berdisiplin dan jujur,” ujarnya.