JSJN Sabah Tumpaskan Sindiket Dadah, Rampas 48 Kilogram Syabu dan Ganja

KOTA KINABALU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan beberapa kes pengedaran dadah besar membabitkan rampasan syabu dan ganja seberat 48 kilogram bernilai lebih RM1.5 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan itu hasil daripada risikan berterusan, tindakan pantas anggota serta kerjasama erat antara pelbagai agensi keselamatan dan orang awam.

Menurutnya, dalam operasi pertama pada 19 Oktober, sepasukan anggota MPV Semporna menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun yang membawa empat kotak besar menggunakan kereta sorong di Kampung Air, Semporna.

Pemeriksaan mendapati suspek membawa 45 bungkusan syabu seberat 46.4 kilogram bernilai RM1.48 juta, yang mampu menampung hampir 350,000 penagihan sekali guna. Suspek disahkan positif dadah Meth/AMP dan kini direman sehingga 26 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Keesokan harinya, dua lelaki warga Filipina ditahan dalam operasi susulan di Pulau Denawan, Semporna, namun tiada rampasan tambahan direkodkan.

Dalam operasi berasingan di Kota Kinabalu antara 16 hingga 17 Oktober, JSJN menahan tiga lelaki membabitkan rampasan ganja lebih 1.2 kilogram dengan nilai anggaran RM3,500.

Tambah Datuk Jauteh, suspek terdiri daripada seorang tukang masak dengan dua rekod lampau berkaitan dadah, seorang lagi memiliki 3.52 gram ganja, manakala seorang guide scuba diving mengaku memesan ganja dari Kuala Lumpur.

Selain itu, seorang lelaki warga Filipina ditahan di hadapan Hotel Promenade, Kota Kinabalu bersama 1.01 kilogram syabu bernilai kira-kira RM32,000. Suspek juga disahkan positif pelbagai jenis dadah dan direman sehingga 27 Oktober.

JSJN bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan turut merampas 591 gram ganja yang dihantar melalui kargo udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN Sabah di talian 012-208 7222 bagi membantu usaha membanteras jenayah narkotik di negeri ini.