LABUAN : Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) kini melangkah ke fasa baharu sebagai Hab Kewangan Islam Digital Serantau (Digital Islamic Financial Hub), selaras dengan Belanjawan MADANI 2026 yang menekankan pendigitalan dan kewangan hijau sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ricky Chia Chee Jiun berkata, langkah itu menandakan integrasi kukuh antara kewangan Islam dan teknologi digital.
Beliau berkata sejak 2023, kerajaan konsisten memperkukuh sektor perkhidmatan bernilai tinggi serta inovasi kewangan melalui pelan Membangun Semula Malaysia MADANI, termasuk memperkenalkan inisiatif berasaskan ESG dan fintech.
“Kesinambungan dasar ini kini diterjemah melalui penempatan Labuan IBFC sebagai pusat perintis kewangan Islam digital, memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena kewangan serantau,” katanya.
Antara inisiatif utama diumumkan termasuk Global Tokenised Sukuk dan Sukuk Wakaf Tunai Tokenisasi, dua langkah penting yang memperkenalkan pembiayaan berasaskan teknologi blockchain dan kontrak pintar untuk memastikan urus niaga lebih cekap dan telus.
Transformasi ini dijangka menarik pelaburan strategik dari Asia Barat, China, Indonesia dan Singapura serta merangsang pertumbuhan sektor sokongan seperti fintech, audit, perundangan, perakaunan dan penyelidikan blockchain.
Selain itu, pembangunan semula kawasan Labuan Waterfront akan memperkukuh sinergi antara sektor kewangan, pelancongan, perdagangan dan pendidikan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi setempat.
Dr Ricky menegaskan, transformasi Labuan IBFC mencerminkan nilai-nilai MADANI seperti Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta yang menjadi asas pembangunan negara, sekali gus memperkukuh peranan Labuan sebagai enjin utama kewangan Islam digital di rantau ASEAN.