KOTA KINABALU: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini yang dijalankan sepanjang minggu lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi yang digerakkan hasil risikan dan aduan orang awam itu dilakukan pada 18 hingga 19 September dengan melibatkan seramai 28 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
Katanya, sebanyak 104 individu diperiksa dalam beberapa siri serbuan dan hasilnya 21 orang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas sah.
“Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada warga Pakistan, Filipina dan Indonesia. Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan usaha membanteras kemasukan dan keberadaan PATI di negeri ini, termasuk menjejaki majikan yang bersekongkol menggaji pekerja asing tanpa izin.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI. Tiada sebarang kompromi dalam hal ini kerana ia melibatkan aspek keselamatan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berhubung keberadaan PATI di kawasan mereka bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.