Ilmu Taharah Asas Ibadah, Wajar Diperluas – Nizam

TAWAU: Ilmu berkaitan Taharah atau bersuci perlu difahami secara mendalam oleh setiap Muslim kerana ia merupakan asas utama dalam pelaksanaan ibadah seharian.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata demikian ketika merasmikan Program Fiqh Ibadah Muslimah yang dianjurkan oleh Kuliah Takmir Masjid Al-Kauthar, Tawau, hari ini.

Program yang menghimpunkan hampir 600 peserta terdiri daripada wanita, belia dan warga emas itu memberi tumpuan kepada aspek bersuci dalam kehidupan harian Muslimah, termasuk pengurusan haid, nifas, wuduk dan istinjak.

“Ilmu bersuci adalah asas kepada ibadah. Tanpa pemahaman dan pelaksanaan yang betul dalam hal Taharah, ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan wuduk boleh menjadi tidak sah,” katanya.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau menyambut baik usaha Masjid Al-Kauthar dalam memperkasakan ilmu agama dalam kalangan wanita dan menyarankan supaya lebih banyak program seumpamanya diadakan secara berterusan.

“Saya menyokong penuh penganjuran program ini dan berharap ia dapat diteruskan serta diperluas ke kawasan lain.

“Golongan wanita memainkan peranan besar dalam membentuk keluarga yang berilmu dan berakhlak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nizam turut menyeru agar masjid, persatuan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil langkah proaktif dalam menganjurkan program pendidikan Islam, khususnya kepada generasi muda.

“Pendidikan agama mampu menjadi benteng utama kepada masalah sosial yang semakin meruncing dalam kalangan remaja masa kini.

“Kita berdepan pelbagai cabaran seperti kes buli, jenayah dan salah laku moral. Semua pihak perlu bekerjasama dalam membimbing anak-anak kita agar tidak terjerumus ke arah gejala negatif ini,” jelasnya.

Program Fiqh Ibadah Muslimah yang berlangsung di Masjid Al-Kauthar ini mencerminkan kesungguhan masyarakat setempat dalam mendalami ilmu agama dan memperkukuh jati diri sebagai Muslimah yang berpengetahuan serta berakhlak mulia.