Jangan perbesar isu Jalur Gemilang terbalik, rakyat AS pun masih buat silap – Masidi

KOTA KINABALU: Isu kesalahan memasang bendera kebangsaan negara, Jalur Gemilang secara terbalik tidak seharusnya diperbesarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mengambil pertimbangan fitrah manusia kadang-kadang melakukan kesilapan, maka pemasangan bendera secara terbalik itu tidak seharusnya menjadi kebimbangan berlebihan.

Menteri Kewangan negeri itu berkata, walaupun beliau tidak berkompromi terhadap sikap individu yang tidak sensitif terhadap Jalur Gemilang, namun, paling penting adalah semangat mengibarkannya dan bukan tentang kesempurnaan teknikal.

“Manusia tidak sempurna. Kadang-kadang kita melakukan kesilapan. Saya fikir kita harus mengabaikan kesilapan kecil itu dan melihat gambaranlebih besar. Niat harus lebih penting daripada kesilapan.

“Kita hanya perlu berkata, ajar mereka cara menaikkan bendera dengan baik. Tetapi kita tidak sepatutnya besar-besarkan kesilapan tidak disengajakan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 peringkat negeri Sabah di Kompleks Bersepadu, Kementerian Komunikasi semalam.

Kerajaan negeri menjangka seramai 50,000 orang hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens di sini pada 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial menyuarakan pandangan tidak menyahut sambutan berkenaan, malah tidak yakin jika benar mencapai sasaran tersebut sebagai tuntutan keadilan terhadap Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah 16 Julai lalu.

Kes Jalur Gemilang terbalik baru-baru ini di Johor, Pulau Pinang dan tempat lain menyebabkan penutupan perniagaan, penahanan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kelmarin, satu premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian dilaporkan diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu lalu sehingga ia tular dan mengundang kemarahan ramai.

Dalam pada itu, Masidi berkata, mengibarkan bendera tidak seharusnya menjadi punca ketakutan atau keraguan hanya kerana kontroversi baru-baru ini.

Katanya, AS yang sudah lebih 200 tahun merdeka masih menyaksikan kesilapan serupa daripada rakyatnya.

“Ia adalah sifat manusia. Kadang-kadang kita hanya membuat kesilapan yang tidak disengajakan,” katanya.