SSB nafi dakwaan negatif eksport kayu Eucalyptus, tegas patuh undang-undang – Mohd. Arsad

TAWAU : Sabah Softwoods Berhad (SSB) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan segelintir pihak yang memanipulasi operasi syarikat itu, berkaitan eksport kayu eucalyptus, hingga mencetuskan persepsi negatif terhadap syarikat serta kerajaan Sabah.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Arsad Bistari berkata, hantaran sebuah halaman Facebook baru-baru ini mengundang pelbagai komen dan tanggapan awam yang tersasar jauh daripada fakta sebenar.

“Eksport kayu eucalyptus oleh SSB mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Malaysia serta tertakluk kepada pemantauan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam.

“SSB merupakan anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah yang terlibat dalam pembangunan industri perkayuan peringkat huluan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Arsad berkata, operasi syarikat itu diiktiraf oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC), sebuah badan antarabangsa yang menetapkan piawaian pengurusan hutan bertanggungjawab di seluruh dunia.

“Pensijilan FSC memberi jaminan bahawa ladang perkayuan kami diurus secara beretika dan mampan bagi mencegah pembalakan haram dan penyahutanan.

“Eksport kayu kayan SSB diperakui oleh Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS) yang memastikan sumber kayu boleh dijejak serta mematuhi piawaian alam sekitar, sosial dan undang-undang antarabangsa,” jelas Mohd. Arsad.

Menurutnya, TLAS ialah satu sistem usaha wajar yang memastikan segala hasil hutan dan produk kayu dari Sabah diproses serta diperdagangkan secara sah.

Beliau turut mengingatkan bahawa sumbangan SSB dalam industri perkayuan Sabah turut diiktiraf oleh bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang pernah mengecualikan syarikat itu daripada larangan eksport balak tropika pada tahun 2018.

Mengulas lanjut, Mohd. Arsad berkata, sejak penubuhannya 52 tahun lalu, SSB sentiasa komited menguruskan operasinya secara profesional dan bertanggungjawab demi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah, khususnya melalui institusi Yayasan Sabah.

“Kami akan terus menjalankan amanah ini dengan integriti tinggi dan tidak akan berkompromi terhadap pematuhan undang-undang serta kelestarian alam sekitar,” katanya.