Penglibatan wanita dalam ekonomi, politik Sabah masih ketinggalan – Azizah

KOTA KINABALU : Penglibatan kaum wanita dalam pembangunan dan ekonomi masih jauh ketinggalan sekali gus memerlukan anjakan besar serta melibatkan sokongan daripada semua pihak di negeri ini.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, jurang penyertaan wanita dalam ekonomi dan politik masih lagi besar dan menjadi satu cabaran bagi membolehkan mereka memainkan peranan dalam kemajuan negeri.

Katanya, semua menyedari wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan negara.

“Walau bagaimanapun, menurut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022, terdapat jurang yang jelas dalam peluang penyertaan ekonomi serta penguasaan politik wanita.

“Skor penguasaan politik wanita hanya 0.102, yang menandakan cabaran besar yang perlu diatasi untuk memperkukuhkan peranan wanita dalam bidang ini,” katanya di sini semalam.

Azizah berkata, di Sabah, hanya 18 peratus wanita memegang jawatan sebagai Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan.

“Sementara hanya 26 peratus  wanita yang berada dalam lembaga pengarah dan memegang jawatan CEO di agensi kerajaan dan GLC.

“Perwakilan wanita dalam kepimpinan pelbagai parti-parti politik juga jelas masih rendah, malah data menunjukkan bahawa hanya sekitar empat hingga 13 peratus penglibatan,” jelas Azizah.