KOTA KINABALU : Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada tahun ini akan memfokuskan kepada usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu lapan daerah di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi menangani masalah berkenaan bagi membolehkan seluruh lapisan rakyat mampu menikmati arus kemajuan dan pembangunan yang pesat berkembang di Sabah.
Katanya, IDS sebagai sebuah Agensi Pemikir Utama Kerajaan Negeri Sabah perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan kajian strategik bagi mengenal pasti punca utama mengapa masih terdapat lapan daerah termiskin di Sabah ini.
“Daerah tersebut ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu. Kajian yang dilaksanakan mestilah bersifat menyeluruh, komprehensif, dan telit, dengan matlamat utama untuk merangka penyelesaian yang praktikal dan berkesan.
“Situasi ini bukan sahaja mencabar, tetapi juga amat menyedihkan bagi kita jika tidak ditangani segera. Justeru, IDS perlu memikul tanggungjawab ini, bukan hanya untuk membantu daerah-daerah tersebut keluar daripada senarai daerah termiskin di Malaysia, tetapi juga demi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.
Azizah berkata, beliau menyeru semua warga IDS agar segera menyediakan cadangan-cadangan penyelesaian yang bernas sebagai pelan tindakan membasmi kemiskinan itu.
“Usaha ini perlu dilaksanakan dengan segera supaya kelapan-lapan daerah ini dapat keluar daripada status termiskin, sekali gus mencipta perubahan yang bermakna kepada kehidupan rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.
