Kenderaan bertembung, pemandu van maut dalam kemalangan

SEMPORNA : Seorang lelaki maut termasuk seorang parah selepas kenderaan mereka bertembung dalam kemalangan di Kilometer 51, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, mangsa berusia lingkungan 40-an disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mangsa dipercayai tersepit dalam van sekali gus disahkan meninggal dunia, manakala pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu cedera parah dihantar ke Hospital Semporna untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Madzlan berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.32 pagi kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi tadi.