KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh meminta Ketua Menteri Sabah supaya berundur dalam isu dakwaan rasuah melibatkan ADUN-ADUN kerajaan dilihat dangkal dan bersifat prejudis.
Ketua Pemuda PGRS, Datuk Fairuz Renddan berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berasal dari Melaka disiarkan sebuah portal malam tadi seolah memperlihatkan kegopohan pemimpin UMNO.
Katanya, beliau (Akmal) seolah-olah ‘turut serta’ dalam senario politik di negeri Sabah tanpa melakukan sebarang pertimbangan dan disifatkan sebagai ‘double standart’.
“Kita ingatkan, sebelum mencampuri urusan di Sabah, ada baiknya Dr Akmal terlebih dahulu melihat cermin dan mendesak supaya mana-mana pemimpin UMNO yang terpalit dengan isu rasuah di mahkamah supaya meletakkan jawatan mereka.
“Ketua Pemuda UMNO Malaysia jika dilihat memang ‘minta puji’ dan sering sahaja mengangkat apa-apa isu selain lapar perhatian di media sosial.
“Sebelum mendesak Ketua Menteri Sabah supaya berundur, kenapa sejak daripada dahulu, pemimpin UMNO sedang, pernah berhadapan dengan kes atau tuduhan rasuah di mahkamah tidak pula didesak meletakkan jawatan, contoh terdekat adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fairuz merupakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam kenyataan balas beliau terhadap Dr Akmal dalam laporan sebuah portal malam tadi menyatakan hasrat Pemuda UMNO mahu Hajiji undur jika dakwaan rasuah ada merit.
Dalam kenyataan disiarkan, Dr Akmal pada masa sama meminta Datuk Seri Hajiji Noor berundur bagi memastikan siasatan yang adil dan bebas dibuat ke atas dakwaan tersebut, selain dan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri terhadap akauntabiliti dan ketelusan.
Fairuz berkata, rakyat percaya dan lelah terhadap cubaan demi cubaan memburukkan kerajaan GRS dengan meletakkan hukuman di media sosial terlebih dahulu, sebelum diangkat ke muka pengadilan sewajarnya.
“Bagi saya kenapa Dr Akmal tidak mengambil pendekatan bersama SPRM untuk menunggu siasatan dan melangkaui undang-undang dengan berpaksikan mahkamah Malaysia Kini?
“Hujah mengatakan ada merit dalam penyebaran video melibatkan skandal rasuah ADUN dan Menteri GRS, kenapa perlu mendesak Ketua Menteri Sabah berundur pula? Sedangkan siasatan mengenai tuduhan dan dakwaan ini masih dilakukan pihak SPRM?
“Adakah Dr Akmal senada dengan portal dalam talian dan pelaku whistlebowler menjadikan platorm media sosial untuk menghukum, menyebar naratif negatif dan melangkaui undang-undang supaya menjadikan mereka yang terpalit dalam video tular disalahkan seratus peratus,” jelas Fairuz.
