KOTA KINABALU : Kepimpinan tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah diterajui Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah disifatkan sebagai kepimpinan menyeluruh serta prihatin terhadap usaha memperkasa wanita, ekonomi dan pendidikan.
Ketua Wanita Pergerakan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, segala usaha dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri masa kini ternyata membuktikan kesungguhan dalam merealisasikan apa yang dijanjikan.
Katanya, perwakilian boleh melihat sendiri, Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mentadbir kerajaan membawa hala tuju tanpa mengenepikan aspek berkepentingan kepada wanita, ekonomi dan pendidikan.
“Sejak kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ketika itu pertumbuhan ekonomi negatif 7.5 peratus.
“Namun setelah mentadbir, angka itu bertukar dan pada tahun 2021, ia telah meningkat 1.5 peratus, sekali gus situasi peningkatan serupa dicatatkan pada tahun 2022 dengan catatan 3.5 peratus serta bagi tahun terkini 2023 meningkat kepada empat peratus, dan tahun ini melonjak menjadi 4.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Redonah berkata, peningkatan hasil Kerajaan Negeri sebanyak berjumlah RM5.49b pada tahun 2021 turut meningkat pada tahun 2022, menjadi RM6.96b dan RM6.97b pada tahun 2023.
“Peluang pekerjaan terbuka luas melalui kilang kibing dan kilang simen memberi peluang pekerjaan kepada lebih 2,500 pemohon serta 170 orang jurutera terdiri daripada anak-anak Sabah.
“Tahun ini peruntukan sebanyak 20 SMJ rumah diberikan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri dan jumlah ini akan bertambah, menjadi 40 buah rumah untuk setiap DUN pada tahun hadapan,” jelas Redonah.
