TENOM: Program Semarak Ramadan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap bertemakan “Semerbak Kasih, Seharum Budi” dilaksanakan bagi memperkukuh aktiviti keagamaan serta kebajikan masyarakat menjelang Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata program itu turut menyaksikan penyaluran sumbangan RM20,000 kepada Tabung Badan Dakwah Daerah Tenom.
Sumbangan berkenaan disampaikan beliau kepada Pengerusi Badan Dakwah Daerah Tenom, Dr Zulasri Pitting yang juga Penolong Pegawai Daerah Tenom.
Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata bantuan Imarah Ramadan turut diagihkan kepada 11 masjid, 18 surau dan dua madrasah tahfiz dalam kawasan DUN berkenaan.
Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan termasuk aktiviti ibadah, kebajikan dan pengimarahan rumah ibadat.
“Semoga bantuan ini dapat membantu semua masjid dan surau dalam melaksanakan program sepanjang Ramadan,” katanya ketika berucap pada majlis di Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri (SAN) Chinta Mata, di sini, semalam.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin.
Selepas program, Jamawi turut mengadakan ziarah ke Kampung Tuan dan Kampung Pulong bagi menyantuni keluarga yang kehilangan ahli keluarga serta menyampaikan ucapan takziah dan sokongan moral.
