Ibrahim gesa Pandikar berundur hormat suara majoriti USNO

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden USNO, Datuk Ibrahim Linggam menggesa Presiden parti, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berundur secara terhormat susulan dakwaan pelanggaran Perlembagaan parti berhubung tindakan menggantung serta melucutkan jawatan 12 Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET).

Menurut Ibrahim, tindakan tersebut dibuat tanpa mematuhi proses disiplin yang sewajarnya termasuk kegagalan menubuhkan Lembaga Disiplin Awalan serta memberi ruang rayuan kepada ahli yang terlibat.

Beliau berkata keputusan penting termasuk cadangan membawa USNO keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dibuat dalam mesyuarat yang didakwa gagal memenuhi syarat kuorum seperti ditetapkan Perlembagaan parti.

“Majlis Eksekutif Tertinggi mempunyai 37 ahli dan kuorum minimum ialah 19 orang, namun mesyuarat pada 22 April hanya dihadiri 18 ahli.

“Ini menjadikan keputusan yang dibuat boleh dipertikaikan kesahihannya,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Ibrahim turut mendakwa mesyuarat pada 6 Mei lalu hanya dihadiri 17 ahli secara fizikal manakala tiga lagi menghadiri mesyuarat secara dalam talian yang menurutnya tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan parti bagi tujuan kuorum.

Katanya, tindakan menggantung pimpinan yang mempertikaikan keputusan tersebut menunjukkan budaya politik autokratik semakin membimbangkan dalam USNO.

“Kalau suara majoriti pun mahu dibungkam, maka USNO sedang dibawa ke arah budaya autokratik yang berbahaya,” katanya.

Beliau menegaskan perjuangan mempertahankan Perlembagaan parti bukan perjuangan individu tetapi demi mempertahankan demokrasi dan suara akar umbi dalam USNO.