KOTA KINABALU: Seramai 17 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan menerusi Ops Belanja dan Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar bandar raya ini.
Dalam operasi itu, seramai 31 individu diperiksa sebelum 17 daripadanya ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, sekali gus melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah tangkapan, 12 individu adalah warganegara Filipina terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita dewasa, manakala lima lagi adalah warganegara Indonesia melibatkan dua lelaki dan tiga wanita dewasa.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara.
