LABUAN: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan di tiga lokasi perumahan, awal pagi semalam.
Pengarahnya berkata, operasi bermula jam 12.10 tengah malam hingga 2 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan, melibatkan 31 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat.
“Hasil pemeriksaan terhadap 21 individu, enam warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua PATI yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Labuan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Dalam operasi sama, dua individu turut disaman sebagai saksi bagi membantu siasatan.
JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengesan, menangkap dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.
