Mahkamah Rayuan benarkan tangguh perintah kes 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata mahkamah memutuskan ia mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendengar permohonan tersebut.

Beliau berkata, mahkamah turut mengambil kira bahawa tempoh 90 hari untuk semakan dan 180 hari untuk memuktamadkan perjanjian seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi mungkin tidak mencukupi.

Katanya, ini kerana semakan itu melibatkan penentuan jumlah bayaran bagi tempoh panjang dari 1974 hingga 2021.

“Mahkamah juga berpendapat pelaksanaan pembayaran dalam jumlah besar sebelum rayuan diputuskan boleh menjejaskan proses rayuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu hanya bersifat prosedural dan tidak menjejaskan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa semakan berkala di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan gagal dilaksanakan.

“Isu substantif perlembagaan masih belum diputuskan dan akan ditentukan dalam rayuan,” katanya.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan kedudukan sedia ada sementara rayuan kerajaan persekutuan didengar dan diputuskan.