KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan pendiriannya kekal konsisten, dengan menekankan bahawa Sabah mesti ditadbir oleh parti tempatan yang mendapat mandat rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan sesetengah pihak bahawa parti itu mengubah pendirian.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata pendekatan ini bukan bermakna menolak kerjasama politik, tetapi bertujuan memulihkan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia, selaras prinsip asal penubuhan Malaysia – perkongsian setara antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Seperti GPS di Sarawak, kami membezakan pentadbiran negeri dan kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Di peringkat negeri, kepimpinan mesti datang daripada parti tempatan; di peringkat Persekutuan pula, Warisan sedia bekerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Leiking menegaskan Sabah telah lama terkesan dengan keputusan nasional yang dibuat tanpa penglibatan negeri, menyebabkan jurang pembangunan dan penghakisan hak di bawah Perjanjian Malaysia.
Pendirian Warisan, katanya, bukan baharu atau ekstrem, sebaliknya tegas, berprinsip, dan selaras dengan model kepimpinan Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media yang melaporkan kenyataan parti secara tepat dan adil, sambil menekankan kepentingan laporan berfakta untuk memastikan wacana awam yang sihat.
Warisan menegaskan pendirian mereka tetap sama: pentadbiran Sabah oleh kepimpinan tempatan, serta kerjasama berprinsip di peringkat Persekutuan, demi Malaysia yang lebih adil dan saksama.
