KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin masih mampu memikul tanggungjawab memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun dua parti, Parti STAR dan SAPP, memilih untuk meninggalkan gabungan itu baru-baru ini.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keputusan kedua-dua parti berkenaan tidak menggoyahkan semangat PBS yang sudah lama ditempa dengan pelbagai cabaran politik sejak penubuhannya.
“Inilah demokrasi. Setiap parti ada hak membuat keputusan, tetapi dalam masa sama kestabilan dan perpaduan tidak boleh diketepikan. Di sinilah PBS akan terus memainkan peranan,” katanya di sini semalam.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS menegaskan, pengaruh PBS dalam gabungan itu kekal utuh kerana parti tersebut berakar umbi kukuh dan berpegang teguh pada prinsip berkhidmat untuk rakyat.
“Kita telah melalui banyak fasa politik yang berubah-ubah, namun prinsip kita tidak pernah luntur – iaitu berkhidmat dengan dedikasi dan mengutamakan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, PBS akan terus menjadi tunjang kestabilan dalam GRS bagi memastikan gabungan itu kekal kuat, berwibawa dan mampu menunaikan harapan rakyat Sabah menerusi dasar yang realistik serta berpaksikan rakyat.
PBS kini merupakan salah satu daripada enam parti komponen GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Dalam pada itu, Joniston turut meluangkan masa bertemu penduduk di Kampung Balabakan, Kiulu, bagi merasmikan pembukaan jalan pertanian baharu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan sektor pertanian terus menjadi fokus utama di Kiulu sebagai usaha memperkukuh ekonomi luar bandar dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
