Oleh Dr Haryati Abdul Karim, Penyelidik GEOPES, Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, pengundi sekali lagi disajikan dengan naratif anti-parti luar atau lebih tepatnya, parti dari Semenanjung. Walaupun bingkainya sama seperti sebelum ini, pengisiannya sahaja berubah mengikut konteks semasa.
Slogan “Sabah for Sabahan” kembali dilaungkan oleh parti-parti tempatan yang mempromosikan idea bahawa mengundi parti lokal bermakna memberi autonomi penuh kepada rakyat Sabah untuk menentukan hala tuju negeri tanpa campur tangan luar.
Semangat anti-parti luar itu turut mempengaruhi keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kedua-duanya dilihat menuntut agihan kerusi lebih besar kepada parti tempatan.
Terbaharu, STAR menerusi laman Facebooknya menulis slogan “Rumah Kita, Kita Jaga. Kunci Rumah, Kita Pegang. Sabah for Sabahan, Justice for Sabahan” — membawa mesej bahawa pentadbiran Sabah wajar diterajui sepenuhnya oleh parti lokal. Namun, selepas mengumumkan penubuhan pakatan baharu Gerakan Sabah Baharu, Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyatakan pakatan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dari Semenanjung.
Pendekatan itu berbeza dengan Parti Warisan apabila Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan parti itu akan kekal mesra Kerajaan Persekutuan sekiranya kembali mentadbir Sabah.
Kedua-dua perkembangan ini menunjukkan parti-parti lokal turut menyedari hakikat bahawa Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa sebarang bentuk kerjasama dengan parti luar atau Kerajaan Persekutuan.
Namun, naratif anti-parti luar yang dimainkan di media sosial masih mendapat sambutan daripada segelintir pengundi akar umbi, kononnya berdasarkan kejayaan Sarawak memperkukuh autonomi negeri melalui parti-parti tempatan.
Di sebalik keterujaan terhadap slogan “Sabah for Sabahan”, ada juga kebimbangan bahawa sentimen ini boleh menjadikan Sabah lebih ketinggalan dalam arus pembangunan perdana negara. Hakikatnya, Sabah sudah pun diperintah oleh parti-parti lokal sejak 1963 lagi — termasuk USNO, BERJAYA dan PBS — sebelum UMNO memasuki negeri ini pada 1990.
Selepas itu, pentadbiran Sabah banyak bergantung kepada gabungan parti luar dan parti lokal, dan model ini terbukti membawa pembangunan walaupun tidak setanding negeri seperti Selangor atau Kuala Lumpur.
Persoalan penting kini ialah sama ada isu parti lokal vs parti luar benar-benar menjadi masalah utama rakyat Sabah. Jawapannya tidak. Apa yang lebih meresahkan rakyat ialah masalah asas pembangunan yang menjejaskan kualiti hidup.
Sabah masih berdepan isu gangguan bekalan air dan elektrik, jalan raya rosak serta tahap kemiskinan yang tinggi. Menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Jabatan Perangkaan 2024, sebanyak 30.8 peratus isi rumah di Sabah berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,999 sebulan, manakala hanya 5.3 peratus berpendapatan antara RM10,000 hingga RM11,999.
Harga barang keperluan di Sabah pula lebih tinggi berbanding negeri lain, menyebabkan 98 peratus penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 menggunakan bantuan tersebut sepenuhnya. Peluang pekerjaan juga terhad, memaksa ramai graduan berhijrah ke Semenanjung untuk mencari rezeki.
Selain itu, sistem pengangkutan awam yang efisien masih belum wujud di Sabah, sedangkan infrastruktur seperti komuter mampu menghubungkan kawasan luar bandar ke bandar utama dan merangsang ekonomi.
Hakikatnya, pengundi kini menanti tawaran dan pelan tindakan yang jelas daripada parti-parti yang bakal bertanding — termasuk bagaimana mereka mahu meningkatkan pendapatan rakyat dan memperkukuh ekonomi negeri.
Namun, hingga kini belum ada parti lokal yang benar-benar menonjolkan visi dan misi jangka panjang bagi hala tuju Sabah.
Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi negeri maju dan makmur. Justeru, apa yang diperlukan ialah kepimpinan berwawasan, berani serta pragmatik dalam membuat keputusan demi kebajikan rakyat.
Oleh itu, naratif undi parti lokal, tolak parti luar tidak lagi relevan dalam konteks semasa. Pengundi Sabah harus bijak menilai dan memilih berdasarkan tawaran pembangunan yang realistik, inklusif serta mampu membawa kemajuan kepada negeri tanpa menjejaskan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.