UMS jalin kerjasama tangani cabaran politik antarabangsa – Asmady

KOTA KINABALU : Hubungan erat Malaysia dan Indonesia bukan sahaja terjalin dalam konteks diplomatik dan ekonomi malah juga dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Dr. Asmady Idris berkata, kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau.

Kasim (kanan) bersama Sugito berbincang tentang peluang kerjasama.

Katanya, ini memupuk kefahaman lebih mendalam mengenai isu politik antarabangsaserta menyumbang kepada pembangunan ilmu lebih lestari.

“Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh cabaran, kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani pelbagai isu geopolitik dan hubungan antarabangsa menjadi semakin relevan.

“Forum ilmiah membuka ruang perbincangan produktif dalam memahami dan mencari solusi kepada cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara dan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Dekan (Akademik) Dr. Fauzi Sarjono.  

Asmady berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi menggalakkan usaha memperbanyak kerjasama akademik antara universiti di ASEAN bersempena kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi di rantau ini.

“Tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan wacana akademik yang lebih inklusif dan strategik,” jelas Asmady.

Menurutnya, syarahan bersama ini bukan sahaja akan memberikan manfaat akademik, tetapi juga memperkukuh hubungan jalinan strategik antara kedua-dua institusi.

“Kita berharap agar perbincangan berlangsung hari ini dapat menghasilkan idea-idea yang bernas.

“Ini akan mengukuhkan kolaborasi antara para akademik dan mahasiswa dari kedua-dua universiti,” kata Asmady.

Terdahulu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menerima kunjungan hormat daripada deligasi Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMY) Indonesia.

Delegasi UMY diketuai oleh Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sosial dan Sains Politik UMY, Dr. Sugito itu antara lain bertujuan meneroka peluang kerjasama, mobiliti dan penyelidikan di antara kedua-dua universiti.