Sabah memartabatkan Bahasa Melayu tingkat penguasaan Bahasa Inggeris kalangan pelajar – Mohd Arifin

KOTA KINABALU : Kerajaan memberikan fokus terhadap usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu disamping memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan akan mendukung usaha ini, di samping memberikan fokus kepada beberapa perkara yang dilaksanakan tahun ini.

Mohd Arifin ketika berucap di majlis berkenaan.

Katanya, langkah ini selaras terhadap memartabatkan Bahasa Melayu serta Inggeris melalui acuan sendiri di negeri Sabah.

“Salah satu langkahnya adalah termasuk pemberian peranti atau tablet menjadi medium utama dalam pelaksanaan Home Smart Schooling.

“Kaedah penggunaan peranti ini mampu memberi semangat kepada pelajar untuk belajar disamping meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi digital,” katanya di sini semalam.

Arifin berkata, pemberian peranti ini akan memberi manfaat kepada pelajar membuat carian pembelajaran menerusi aplikasi tersedia termasuk aplikasi lain seperti YouTube dan Tik Tok.

Mohd Arifin dalam sidang media di majlis berkenaan.

“Cabaran pelajar pada masa kini adalah bagaimana mengawal diri dalam penggunaan teknologi digital ini.

“Pelajar perlu bijak membahagikan masa serta mengawal penggunaan peranti dan keselamatan data peribadi perlu dilindungi dan tidak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik sehingga menjadi mangsa jenayah komersil,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, kerajaan bersedia melakukan perubahan dalam transformasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan kemajuan landskap pendidikan negara.

Seramai 1833 pelajar merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 melibatkan 49 sekolah menengah terpilih menerima manfaat peranti berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.