Ahli perniagaan ditahan SPRM disyaki kemuka tuntutan butir matan palsu RM45,000

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman seorang individu perniagaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi  butir matan palsu.

Menurut sumber kenyatan tersebut, ia dikemukakan kepada salah sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah melibatkan pembekalan bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah bernilai kira-kira RM45,000.

Katanya, suspek lelaki merupakan pemilik perniagaan berusia sekitar 40-an ditahan kira-kira jam 12.30 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah.

“Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga  1 November 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 di mana telah mengemukakan dua tuntutan bayaran kira-kira RM25,000 dan RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tuntutan bayaran tersebut adalah bertujuan bagi membekalkan bahan mentah bagi pembaikan dan penyelenggaran sekolah tetapi pembekalan tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi  mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut beliau lagi, pihaknya menjangkakan ada beberapa tangkapan susulan akan dibuat lagi.