UMS iktiraf sumbangan universiti-industri dalam kebolehpasaran graduan – Kasim

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengiktiraf sumbangan fakulti serta pihak pengurusan universiti bersama industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduannya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, dunia pekerjaan menuntut graduan untuk memiliki pengetahuan akademik yang kukuh serta kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi dan daya saing yang tinggi.

Katanya, peranan universiti bukan sahaja mempersiapkan pelajar untuk memperoleh ijazah tetapi juga bersedia menjadi tenaga kerja yang berkualiti, berinovasi dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran di dunia pekerjaan.

“Majlis ini juga adalah bukti komitmen pihak universiti dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri dan mampu bersaing di peringkat global.

“Saya percaya, usaha seperti kerjasama dengan industri, latihan amali, serta program-program pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh universiti telah memberi impak yang besar terhadap kebolehpasaran graduan kita,” katanya.

Kasim berkata, UMS mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kadar kebolehpasaran graduan mencapai 98.5 peratus pada tahun 2023, peningkatan 0.2 peratus berbanding pada tahun 2022.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak yang terlibat dalam memperkasakan graduan kita,” jelas Kasim.