UMS wujudkan Makmal BIM pertama di Sabah, jalin kerjasama bidang R&D

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama dengan pihak industri sebagai langkah memperkukuhkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Terbaharu, UMS menandatangani Perjanjian Sekunder ICP dengan Technology Depository Agency (TDA) dan WCT Holdings Bhd. – China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCC) Joint Venture (WCJV).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, kerjasama ini antara lain memberi peluang kepada UMS memperkukuh keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan kerjasama antara rakan industri.

“Program Kolaborasi Industri ICP ini merupakan contoh kolaborasi dan usaha bersama organisasi yang terkemuka dalam memajukan pertumbuhan dan pembangunan industri.

“Kerjasama ini menyaksikan UMS sebagai penerima Program Kolaborasi Industri (ICP) yang menerima Building Information Modeling (BIM),” jelas Shahril.

Menurutnya, BIM merupakan satu sistem melibatkan proses atau tempoh hayat bangunan tersebut selesai dan ia lebih efisyen dan mengelakkan kelewatan serta kerugian dan makmal ini akan diletak di fakulti kejuruteraan.

“Ini suatu jaringan industri yang dinanti-nantikan untuk melatih pelajar, pensyarah dan orang luar di masa akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, UMS turut menerima geran ICP untuk pembinaan makmal BIM berjumlah RM 210,000.