Tujuh warga Indonesia bersama kapal tanker bawa 30,000 liter diesel secara haram ditahan

LABUAN : Sebuah kapal Tanker disyaki membawa 30,000 liter diesel secara haram ditahan pada kedudukan 8.6 batu nautika utara di Pulau Labuan, baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, kapal peronda Maritim Malaysia dalam rondaan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal Tanker berwarna oren yang sedang beroperasi.

Katanya, kapal tersebut dipercayai dikendalikan seorang Chief Officer berumur 37 tahun manakala Chief Engineer berumur 29 tahun, masing-masing warganegara Indonesia ditahan untuk membantu siasatan.

“Kapal Tanker dengan muatan diesel sebanyak 30,000 liter disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Petroleum 1984 iaitu beroperasi tanpa bukti invois pembelian bahan bakar.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru kapal tersebut seramai tujuh orang disyaki memiliki dokumen yang meragukan dan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.