KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) melantik Datuk Dr Yatimah Sarjiman sebagai Pengarah berkuat kuasa 20 Februari 2026, sekali gus memperkukuh barisan kepimpinan syarikat dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
Pengarah Eksekutif KTC, Dexter Lau, berkata pelantikan itu diyakini dapat menambah nilai strategik kepada Lembaga Pengarah, khususnya dalam aspek tadbir urus, perancangan dasar dan pembangunan mampan.
Beliau berkata, pengalaman lebih tiga dekad Datuk Dr Yatimah dalam perkhidmatan awam merangkumi perancangan nasional, pembangunan ekonomi, pengurusan sumber serta pentadbiran sosial akan menyokong agenda jangka panjang kumpulan.
“Beliau membawa perspektif dasar yang komprehensif serta pengalaman luas dalam pengurusan strategik. Ini penting ketika syarikat terus memperkukuh kedudukan pasaran dan memacu penciptaan nilai mampan kepada pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang 34 tahun dalam perkhidmatan awam, Datuk Dr Yatimah pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita.
Beliau juga berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi (EPU), selain terbaharu sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) di Kementerian Ekonomi Malaysia, dengan peranan penting dalam penggubalan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 serta pelaksanaan inisiatif peralihan tenaga negara.
Selain itu, beliau turut menganggotai lembaga pengarah beberapa entiti korporat termasuk PETRONAS Gas Berhad dan UEM Group Berhad.
Pelantikan berkenaan dilihat sejajar dengan usaha KTC untuk terus memperkukuh struktur tadbir urus dan daya tahan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
