PRN Sabah: Spekulasi perpindahan Frankie Poon, Liau Fui Fui ke KDM diketahui esok

PRN Sabah: Spekulasi perpindahan Frankie Poon, Liau Fui Fui ke KDM diketahui esok

KOTA KINABALU – Bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dijangka membuat kejutan apabila menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Dewan Serbaguna SMJK Tiong Hua, Sandakan esok.

Penyertaan beliau dikatakan tidak bersendirian, apabila bekas Setiausaha DAP Sabah, Liau Fui Fui turut dijangka bersama dalam langkah politik terbaru itu.

Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi, ketika dihubungi berkata, pengesahan rasmi hanya akan dibuat pada majlis tersebut.

“Kita sama-sama tunggu esok… semasa majlis di Dewan Serbaguna SMJK Tiong Hua, Sandakan,” katanya ringkas kepada Sabah News Today, hari ini.

Sebelum ini, Frankie dan Liau mengejutkan ramai apabila mengumumkan keluar daripada DAP Sabah, dipercayai akibat rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu sekarang.

Langkah mereka itu sekali lagi mencetuskan spekulasi baharu mengenai hala tuju politik blok pembangkang Sabah, dengan ramai netizen di media sosial mula membincangkan kemungkinan “gelombang baharu” politik tempatan bakal muncul.