PKDM Yakin Cipta Kejutan di Kiulu – Joluin Jairuh
TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) optimis mampu mencipta kejutan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 meskipun dilabel sebagai parti ‘underdog’.
Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Joluin Jairuh, berkata sokongan terhadap calon parti itu, Henry Saimpon, semakin meningkat dari sehari ke sehari hasil kerja keras turun padang yang berterusan.
Menurutnya, Henry semakin diterima rakyat kerana sifatnya yang berjiwa rakyat, mesra pengundi dan mempunyai pengalaman luas dalam memahami keperluan penduduk Kiulu.
“Bilangan pengundi yang menyatakan sokongan kepada Henry semakin bertambah. Ini jelas menunjukkan rakyat Kiulu kini lebih terbuka memberi kepercayaan kepada parti tempatan,” katanya selepas Program Santai Bersama Penduduk Kampung Pahu, Kiulu, pada Ahad.
Joluin menegaskan, gelombang sokongan terhadap parti tempatan semakin kuat, dan beliau percaya KDM mempunyai peluang besar untuk meraih kemenangan mengejut dalam PRN kali ini.
“Nampaknya penduduk Kiulu lebih suka parti tempatan kali ini. Berdasarkan trend itu, tidak mustahil KDM yang dianggap ‘underdog’ mampu mencipta kejutan di DUN Kiulu,” katanya.
