PRN Sabah: GRS Yakin Bakal Terus Terajui Sabah – Razali Razi

PRN Sabah: GRS Yakin Bakal Terus Terajui Sabah – Razali Razi

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka sekali lagi diberikan mandat untuk mentadbir Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17 yang akan datang.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Razali Razi, berkata keyakinan itu bersandarkan sokongan kuat rakyat terhadap kepimpinan GRS di bawah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Rakyat kini semakin yakin dengan kestabilan yang dibawa oleh GRS.

“Kita akan lihat hasilnya selepas 29 November nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Razali, Gagasan Rakyat Bahagian Darau sudah bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya, dengan jentera yang digerakkan sejak lebih tiga tahun lalu.

“Semua jentera sudah bersiap siaga. Kita bekerja tanpa henti demi memastikan GRS kekal menerajui Sabah,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Razali turut mengumumkan seramai 250 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Darau telah menyertai Gagasan Rakyat Darau.

Antaranya termasuk Bekas Ketua Wiranita STAR Darau, Datin Nollyzai Datuk Awg. Sham.

Beliau menafikan dakwaan kononnya bekas pemimpin STAR ditawarkan habuan untuk keluar parti dan menyertai GRS.

“Dakwaan itu tidak benar. Mereka menyertai Gagasan Rakyat kerana yakin dengan kepimpinan Hajiji.

Kami mahu teruskan kestabilan — kalau setiap lima tahun dasar kerajaan berubah, yang rugi adalah rakyat,” tegasnya.