Pembeli Century Plaza tunggu geran hampir 20 tahun, pemaju ‘hilang’ – Armizan kecewa

PAPAR: “Sudah bayar habis, tapi geran pun tak nampak!” — itulah keluhan yang dikongsi 24 pembeli lot kedai di Century Plaza Papar selepas hampir dua dekad menanti hak milik individu yang tidak kunjung tiba.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali, meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap sikap tidak bertanggungjawab pemaju PMSB Ventures Sdn. Bhd. yang gagal hadir ke pertemuan penting pada 27 Oktober lalu untuk membincangkan isu yang berlarutan sejak 2004 itu.

Menurutnya, projek tersebut telah pun memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (OC) sejak 2006, namun pembeli masih tidak menerima geran hak milik individu sehingga hari ini.

“Sebahagian besar pembeli sudah melunaskan pinjaman mereka, malah ada yang meninggal dunia tanpa sempat pegang geran.

“Pemaju tak boleh terus berdiam diri dan biar pembeli hidup dalam ketidakpastian,” katanya dengan nada tegas.

Beliau turut memaklumkan, para pembeli kini melantik firma guaman Tetuan Zainal & Associates untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju terbabit.

Armizan juga menyeru Majlis Daerah Papar (MDP) — selaku pemilik tanah bersama projek tersebut — agar tidak berpeluk tubuh, sebaliknya segera tampil menyelesaikan kemelut yang telah mencemarkan nama daerah itu selama hampir 20 tahun.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah menerusi agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi bakal memperkenalkan dua undang-undang baharu, iaitu: Pindaan Enakmen Hak Milik Subsidiari 1972, dan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025

Langkah ini, katanya, bertujuan memastikan hak pembeli hartanah lebih terjamin serta mengelakkan kejadian seperti di Century Plaza daripada berulang lagi di masa depan.

“Kita mahu undang-undang yang lebih adil dan responsif terhadap hak pengguna. Kes seperti ini tidak boleh dibiarkan berterusan,”katanya.