KIULU – Usaha menaik taraf dan membuka jalan pertanian di Kiulu kini mula memberi kesan positif kepada komuniti setempat, terutama golongan petani yang selama ini berdepan kesukaran mengakses kebun mereka.
Penyandang ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pembinaan dan penambahbaikan jalan pertanian bukan sahaja memudahkan urusan pertanian, malah membuka peluang baharu kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan pendapatan.
“Pembukaan jalan pertanian ini sebahagian daripada inisiatif pembangunan pertanian yang telah dirancang bagi memastikan para petani mempunyai akses lebih baik ke kawasan mereka,” katanya ketika ditemui di Kiulu.
Joniston berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Tuaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta dana ADUN Kiulu.
Menurut beliau, antara jalan yang sedang dinaik taraf ialah Jalan Pertanian Balabakan–Singgaron, yang memberi manfaat kepada petani di kawasan berkenaan.
“Peningkatan kemudahan ini selaras dengan aspirasi komuniti petani di Kiulu yang mahu kemudahan asas pertanian terus dipertingkat. Ia juga melengkapi pembangunan aktiviti pelancongan berasaskan pertanian di sini,” katanya.
Bantu 1,400 Petani, 6,680 Ekar Tanah Terlibat
Joniston menjelaskan bahawa sebanyak 47 jalan pertanian di seluruh Kiulu telah dikenal pasti untuk kerja naik taraf tahun ini, memberi manfaat kepada lebih 1,400 petani yang mengusahakan 6,680 ekar tanah pertanian.
“Usaha menaik taraf kemudahan seperti ini bukan sahaja memudahkan kerja petani, tetapi juga membuka ruang kepada pembangunan aktiviti agropelancongan yang mampu menambah pendapatan penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dan pihak berkaitan akan terus menumpukan perhatian terhadap pembangunan pertanian di Kiulu agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan.
“Kita mahu melihat inisiatif ini diteruskan supaya hasil pertanian dapat diurus dengan lebih cekap, dan petani terus produktif,” jelasnya.
