KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri mengutamakan acara perniagaan, sekali gus mengiktiraf peranannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan kerjasama merentasi rantau Asia Pasifik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dengan pengaruh sektor ini yang semakin meningkat dalam perdagangan.
Katanya, ini khususnya melibatkan pelaburan serta perkongsian ilmu, terdapat sokongan padu terhadap inisiatif memperkukuh ekosistem acara perniagaan serantau.
“Ketika Asia Pasifik terus berkembang sebagai hab global bagi inovasi dan pembangunan industri, platform seperti Business Event (BE) in Sabah 2025 memainkan peranan penting dalam membentuk masa depannya.
“Persidangan, pameran perdagangan, dan program insentif bukan lagi sekadar platform untuk menjalin hubungan.
“Ia adalah pemangkin kepada transformasi ekonomi, perkongsian ilmu, dan kerjasama strategik,” katanya di sini hari ini.
Teksnya disampaikan Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, melalui landskap inilah BE in Sabah 2025 muncul, memperkukuh visi kolektif dijangka mampu untuk memperkasakan Asia Pasifik melalui acara perniagaan.
“Acara perniagaan bukan sahaja merapatkan hubungan, tetapi turut memacu industri ke hadapan.
“Ia mewujudkan platform untuk dialog pelaburan, memudahkan kemasukan syarikat multinasional, dan merangsang pertumbuhan sektor yang sedang berkembang,” jelas Hajiji.
Menurutnya, kesan ekonominya melangkaui mengukuhkan rantaian bekalan, meningkatkan keupayaan tenaga kerja, dan mempercepatkan kemajuan industri.
“Sabah berbesar hati dengan kehadiran dan penyertaan pakar serta pemimpin industri.
“Panduan strategik anda bukan sahaja akan memperkukuh amalan terbaik industri tetapi juga membuka peluang kepada Sabah untuk berinteraksi dengan pasaran antarabangsa,” kata Hajiji.
Beliau berkata, ia akan membina pakatan baharu, menjalin kerjasama, dan meningkatkan kedudukan Sabah dalam sektor acara perniagaan global.
“Saya yakin bahawa rangkaian ini akan membawa peluang besar kepada para peserta untuk belajar dan berkongsi pengalaman,” katanya.
