SPRM perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan siasatan – Zulkarnain

KOTA KINABALU : Kenyataan Peguam Kanan Muhammad Shafee Abdullah semalam mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk memfailkan saman ke atas pemberi maklumat skandal video rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tidak sepatutnya dilayan.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kes berkaitan sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, ini sudah tentu sewajarnya pihak SPRM perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kerja-kerja mereka kemudian boleh berbincang mengenai soal saman sivil. 

“Sebagai seorang peguam berpengalaman, G57 berpandangan Shafie sepatutnya menyedari bahawa tindakan pemberi maklumat itu memilih portal berita untuk menyiarkan video-video kononnya salah laku rasuah dengan membelakangkan pihak SPRM adalah tindakan kurang wajar.

“G57 tetap berpendirian apabila seseorang itu mengetahui adanya amalan rasuah, perkara itu tidak sepatutnya disembunyikan merujuk kepada Seksyen 25 Akta SPRM 2009, apabila kamu mengetahui amalan rasuah tetapi tidak melaporkan kepada pihak SPRM ini jelas satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkarnain berkata, sebagai rekod G57 membuat laporan kepada SPRM dan polis mengenai salah laku kumpulan yang dikaitkan dengan pemberi maklumat itu.

“G57 meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kredibiliti SPRM untuk merungkai kes ini.

“G57 merasakan Hajiji sepatutnya terus fokus membangunkan Sabah yang masih jauh ketinggalan dari pembangunan khususnya berkaitan jalan raya, elektrik dan air,” jelas Zulkarnain.

Menurutnya, Hajiji tidak sepatutnya terjerat dengan provokasi yang dimainkan oleh pihak tertentu yang jelas mempunyai agenda tersembunyi.

“Ini bertujuan untuk mengugat kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, keputusan menyerahkan siasatan video ini kepada SPRM adalah keputusan tepat,” kata Zulkarnain.