Pengurus Tenaga Elektrik di Sabah Mesti Memiliki Perakuan Pendaftaran ECoS – Ridwan

KOTA KINABALU : Seramai 30 peserta menghadiri Kursus Modul Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 serta Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap (PPPTEC) anjuran Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Saham berkata, kursus ini dikhususkan kepada pengurus tenaga elektrik Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Certified Energy Manager (CEM) keluaran Institusi Latihan Ditauliah ST sedang atau akan berkhidmat di Sabah.

Katanya, ia merangkumi sesi taklimat serta peperiksaan bagi menilai tahap pengetahuan peserta mengenai perundangan berkaitan yang berkuatkuasa di Sabah sejak 3 Januari 2024 yang lalu.

“Peserta yang lulus peperiksaan ini boleh memohon daripada ECoS untuk mendapatkan Perakuan Pendaftaran Pengurus Tenaga Elektrik ECoS.

“Atau memohon daripada ECoS untuk menduduki peperiksaan lisan (bagi CEM keluaran Institusi Latihan Ditauliah ST),” katanya di sini hari ini.

Ridwan berkata, ini adalah satu inisiatif penting dilaksanakan ECoS untuk memastikan pengurus tenaga elektrik dan CEM memiliki perakuan pendaftaran ECoS yang setara.

“Semua pemegang Perakuan Pendaftaran Pengurus Tenaga Elektrik ST sedia ada diberikan tempoh sehingga 2 Januari tahun depan untuk memiliki perakuan pendaftaran ECoS yang setara.

“Kursus ni merupakan satu langkah untuk memastikan mereka memiliki pengetahuan dalam bukan sahaja dari aspek teknikal tetapi juga peka dengan aspek-aspek berkaitan perundangan yang berkuatkuasa di negeri Sabah,” jelas Ridwan.

Menurutnya, ini termasuklah EBE 2024 dan PPPTEC 2024 serta adalah selaras dengan Kehendak Kelayakan di bawah Peraturan 12(1)(b), PPPTEC 2024.

“Mana mana pihak yang melanggar atau gagal untuk mematuhi perkara ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan 22, PPPTEC 2024.

“Sekiranya didapati bersalah, didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Ridwan.