SANDAKAN : Seorang tekong lelaki pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR) ditahan ketika cuba menyeludup keluar 2,400 kilogram ikan bilis kering ke negara jiran di perairan Sandakan, Khamis lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, Kapten Muhamad Suhairy Hussain berkata, lelaki terbabit berusia 57 tahun dikesan menaiki sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala dalam kejadian 9.40 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati vesel dengan enjin sangkut 40 dan 30 kuasa kuda itu didaftarkan atas lesen perikanan sekali gus menemui 30 guni berisi ikan bilis kering dianggaran berat 2,400 kilogram.
“Semua barangan ini dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina. Kita menganggarkan nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut serta vesel ini dianggarkan berjumlah lebih RM29,000.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis tanpa kebenaran dan melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, kesemua rampasan itu dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera,” kata Suhairy.
