Rumah Siap Tapi Kosong, Pegawai Ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Sabah telah menahan seorang penjawat awam lelaki, dipercayai berumur lingkungan 50-an.

Ini kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya sebagai penerima program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) walaupun didakwa tidak layak.

Menurut sumber, suspek ditahan pada kira-kira 9.50 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2022 dan rumah yang dibina atas nama bapa mentuanya serta adik iparnya siap pada tahun 2023.

Namun sehingga tahun 2025, rumah berkenaan masih belum didiami, menimbulkan keraguan mengenai kelayakan sebenar penerima serta menjejaskan objektif program bantuan tersebut.

Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa.

Suspek dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sandakan esok.

Kes ini menjadi antara kes rasuah dan salah guna kuasa.

Ini yang menjadi fokus pihak berkuasa dalam mempertingkat integriti penjawat awam serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.