RM559.85 juta untuk sekuriti makanan Sabah, sasar SSL 60 peratus menjelang 2030 – Hajiji 

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama ekonomi di bawah Pelan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), selain perindustrian dan pelancongan.

Menurutnya, isu sekuriti makanan kini menjadi agenda global susulan perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan, justeru memerlukan pendekatan lebih praktikal serta berdaya tahan.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan di seluruh negeri.

Selain itu, RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM15 juta lagi untuk perolehan jentera menuai dan membajak sawah.

Hajiji berkata kerajaan negeri menyasarkan Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030 bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

Beliau turut menekankan bahawa keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada ladang berskala besar, sebaliknya perlu diperkasa di peringkat komuniti melalui inisiatif Kebun Dapur di bawah program Revolusi Ekonomi Luar Bandar.

Katanya, pendekatan mentor-mentee akan diguna pakai dalam Jelajah Kebun Dapur bagi memastikan pemindahan pengetahuan secara berterusan, selain menggalakkan penyertaan belia dalam pertanian pintar berasaskan teknologi.