Pemuda PBS sokong kenaikan tarif elektrik, gesa penambahbaikan perkhidmatan

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, namun menegaskan ia mesti disertai penambahbaikan ketara dalam kecekapan perkhidmatan oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Ketua Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut berkata, kenaikan tarif itu hanya wajar sekiranya Sabah Electricity meningkatkan pengurusan operasi, keupayaan teknikal serta menambah tenaga kerja bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku.

Beliau mengulas tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa 1 Feb, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.

Katanya, sebarang kenaikan tarif perlu memberi manfaat langsung kepada pengguna, khususnya dari segi kebolehpercayaan bekalan dan penyelenggaraan infrastruktur yang lebih cekap.

Pemuda PBS turut menggesa Sabah Electricity mengambil pendekatan lebih prihatin terhadap keperluan pengguna selaras dengan aspirasi pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah.