TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menyokong cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelaksanaan undi pos bagi warga Sabah yang bekerja, belajar dan menetap di Semenanjung Malaysia.
Madius berkata, cadangan itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini ia turut dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih.
Menurutnya, langkah itu wajar bagi memastikan rakyat Sabah yang berada di luar negeri asal tidak terhalang daripada menunaikan tanggungjawab serta hak demokrasi mereka.
“Ramai warga Sabah di Semenanjung sukar pulang ketika pilihan raya disebabkan kesukaran mendapatkan penerbangan, tambang yang tinggi serta kekangan cuti dan masa. Cadangan undi pos ini dapat membantu mereka menunaikan kewajipan tanpa menanggung beban besar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, memperluas akses kepada undi pos adalah langkah ke arah memperkukuh amalan demokrasi dan penyertaan rakyat dalam pilihan raya.
Beliau menegaskan, sistem undi pos yang telus dan selamat akan memastikan hak mengundi dinikmati oleh semua warganegara tanpa mengira lokasi mereka berada.
Dalam pada itu, Madius turut menggesa SPR dan kerajaan negeri meneliti keperluan undang-undang serta mekanisme pelaksanaan undi pos dengan segera, termasuk memperkenalkan sistem pengundian awal dan saluran maklumat kepada pengundi Sabah di luar negeri.