KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja mengecat sebuah rumah di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat terbakar, termasuk putus pada bahagian pergelangan tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.03 pagi.
Menurutnya, seramai 10 anggota dan pegawai bomba bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja mengecat rumah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan terbakar yang serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 11.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
