Lelaki ditahan kes tetak kontraktor di Tawau

TAWAU – Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki menetak seorang kontraktor dalam kejadian di Kampung Autentik, Tanjung Batu Laut, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 petang ketika mangsa berada di belakang rumah mertuanya.

“Mangsa berusia 40 tahun dihantar ke zon merah Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. Suspek pula berjaya ditahan anggota polis di hadapan Unit Kecemasan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes pecah rumah, liwat dan dadah.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.