Laluan Tamparuli–Kiulu–Ranau bakal dinaik taraf di bawah Pan Borneo Fasa 2

KUALA LUMPUR: Laluan Tamparuli–Kiulu–Rondogung Ranau bakal dinaik taraf sebagai sebahagian jajaran alternatif projek Pan Borneo Highway Fasa 2.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjawab soalan lisannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, projek naik taraf itu melibatkan tiga jajaran utama iaitu:

  • Jalan Kiulu–Pahu yang akan dinaik taraf kepada empat lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 24.8 kilometer;
  • Jalan Pahu–Rondogung yang dinaik taraf kepada dua lorong reka bentuk R4 sepanjang 21.66 kilometer; dan
  • Jalan Pahu–Tamparuli yang turut dinaik taraf dengan reka bentuk R4 sepanjang 15.72 kilometer.

Madius berkata, pelaksanaan projek itu dijangka dilaksanakan melalui pakej seterusnya selepas penyempurnaan fasa semasa Pan Borneo Sabah.

Terdahulu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan sama ada kerajaan bercadang menaik taraf Jalan Tamparuli–Ranau menjadi lebuh raya berikutan masalah kesesakan yang semakin ketara.

Bagaimanapun, Ahmad berkata tiada perancangan setakat ini memandangkan data Tahap Perkhidmatan Jalan (LOS) pada 2024 menunjukkan laluan berkenaan berada pada tahap LOS A, iaitu masih mampu menampung aliran trafik semasa.

Beliau bagaimanapun bersetuju supaya satu kajian semula dijalankan bagi menilai tahap LOS terkini, memandangkan data digunakan adalah dua tahun lalu.

“Saya akan mengarahkan JKR membuat kajian semula berkaitan tahap LOS sebenar di pekan Tamparuli dan Tuaran,” katanya.